Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera;
Bahagian ketiga dalam siri Poco-poco ini pula akan menceritakan mengenai kesan poco-poco tu.
BERWASPADA
Benda atau perkara yang ada unsur syubahat jika tidak berhati-hati boleh jatuh ketahap haram. Oleh itu, poco-poco yang dijadikan sebagai satu senaman dan dikaitkan dengan kesihatan tubuh badan maka, ianya harus. Kita perlu berwaspada agar jangan sampai melanggar batasan-batasan syarak seperti bergaul lelaki/wanita, berpakaian yang menampakkan lentuk tubuh badan dan bertari dikhalayak ramai. Selain alasan di atas, ada juga alasan seperti mengeratkan hubungan silaturrahim antara staf. Ini juga ada kesamarannya kerana dibimbangi tidak dapat mengawal tata susila atau adab dengan baik. Memang betul, pahala dan dosa sendiri tanggung, tapi kita hidup bermasyarakat perlu tegur menegur sesama sendiri untuk kebaikan bersama dan terlebih utama sebelum musibah mendatang tanpa mengira sama ada, ada orang baik atau tidak.
Telah dikeluarkan oleh Abu Isa At-Tarmidzi dengan katanya:
Diriwayatkan daripada 'Aisyah RA, katanya: Telah bersabda Rasulullah saw "Jadi pada akhir ini umat ditelan bumi, dan berubah rupa kepada rupa binatang, dan kena rejam dengan batu api dengan sebab penuh maksiat di atas muka bumi diperbuat oleh mereka itu."
Apakala didengar oleh 'Aisyah RA akan sabda Nabi saw yang demikian itu, iapun lalu bertanya:
Kata 'Aisyah RA, telah berkata ku: "Ya, Rasulullah, tuan hamba kata akhir ini umat habis ditelan bumi dan berubah rupa dan direjam dengan batu api dari langit dengan sebab maksiat mereka itu, tetapi adakah dibinasakan seperti yang demikian itu pada halnya di dalam kami ada orang-orang soleh?" Jawab Nabi saw :"Bahkan turun juga kebinasaan itu jikalau ada di dalamnya orang yang berbuat maksiat itu orang soleh sekalipun apabila zahir dan terus terang dan banyak segala maksiat itu tersiarnya dan meratainya. Tetapi apabila tiada zahir, tiadalah dibinasakan."
Sumber : Kitab Bahrul Madzi Juzuk 15
PERLUKAH PADA HARI JUMAAT?
Kata Imam Al-Ghazali rahimahullahu taala: "Ketahui oleh mu bahawasanya hari Jumaat itu iaitu hari yang amat besar lagi mulia yang memuliakan Allah taala dengan dia itu akan agama Islam dan menentukan Allah taala dengan dia akan orang yang muslimin."
Sumber : Kitab Sairus Salikin Jilid 1
Dan Sabda Nabi saw : Hari yang terlebih baik yang terbit di dalamnya matahari itu hari Jumaat. Di dalamnya dijadikan Nabi Adam as dan di dalamnya dimasukkan akan dia ke dalam syurga dan di dalamnya diturunkan akan dia ke bumi dan di dalamnya diterima taubat atasnya dan di dalamnya ia mati dan di dalamnya akan berdiri hari qiamat dan iaitu dinamai pada Allah taala akan "yaumul mazid" yakni hari yang terlebih mulia. Demikian lagi menamakan akan dia "yaumul mazid" oleh malaikat di dalam langit. Dan hari Jumaat itu iaitu hari yang di dalamnya melihat orang mukmin akan Allah taala di dalam syurga."
Sumber : Kitab Sairus Salikin Jilid 1
Keterangan:
Hari Jumaat adalah hari yang sangat mulia. Hari Jumaat adalah penghulu bagi hari-hari dalam seminggu. Hari Jumaat pula diciptakan oleh Allah taala Nabi Adam as dan akan berlakunya hari Qiamat.
Bagi Mazhab As-Syafie, bukan wajib bagi wanita pergi ke masjid untuk bersolat Jumaat sebagaimana yang diperintahkan kepada orang lelaki. Orang wanita harus menunggu selesainya orang lelaki solat Jumaat sebelum boleh menunaikan solat zuhur mereka di atas sebab kemuliaan hari Jumaat tersebut. Sedangkan, solat itu satu pekerjaan atau ibadah (rukun islam kedua) yang dituntut pun kena tunggu orang lelaki selesai solat Jumaat.
Bagaimana kita boleh melakukan aktiviti poco-poco diketika waktu itu?. Mana mumkin, poco-poco itu mengatasi(lebih utama) daripada solat zuhur yang hendak didirikan walaupun sudah masuk waktu ketika itu, walaupun alasan masa rehat yang panjang dikemukakan.
Berlakunya hari Qiamat, pastinya hari Jumaat. Qiamat adalah peristiwa kehancuran dunia yang sangat dasyat. Tiada siapa yang dapat menahan atau menepisnya daripada berlaku. Cuba bayangkan, bagaimana qiamat itu berlaku, sedangkan kita dalam keseronokan berpoco-poco.
Ambillah pesanan ini sebagai "think positively". Ia bukannya menghentam atau menyerang. Ia hanyalah peringatan bagi mereka yang lalai sahaja. Akhir pesanan, Lu Pikir Lah Sendiri...Anda Mampu Mengubahnya.
-tamat-
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment